Datuk Seri Suriani Ahmad (Foto portal rasmi Kementerian Komunikasi) |
SHAH ALAM – Secara dasar, kuasa membeli orang ramai kekal
rendah biarpun menghampiri musim perayaan Aidilfitri, memberi gambaran pengguna
terus teliti dalam mengawal perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi negara
secara keseluruhan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan
Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, masyarakat kini lebih
cenderung membuat tinjauan dan perbandingan harga bagi memastikan pembelian
tersebut berbaloi atau sebaliknya.
“Mereka sekarang ini lebih berhati-hati dalam membeli
sesuatu produk agar apa yang mereka beli itu bersesuaian dengan pendapatan isi
rumah mereka masa kini,”katanya.
Jelasnya, pihaknya tidak menolak sentimen membeli dalam
kalangan pengguna masih rendah namun percaya kuasa membeli orang ramai akan
melonjak ketika berbaki beberapa hari sebelum menjelang hari raya.
“Kalau nak ikut tahun lepas masa kita buat program
seumpama ini di KL, pendapatan mereka (peniaga) memang berlipat kali ganda disebabkan berlangsung lagi 5 hari sebelum raya.
“Raya setahun sekali sahaja mesti ada elemen nak membeli
juga kuih raya dan baju raya,” katanya semasa ditemui wartawan di Program
Jualan MADANI Raya (PJMR) 2024, semalam.
Menerusi tinjauan MyBERITA, majoriti pengguna mengambil
pendekatan konservatif terhadap pembelian besar-besaran atau perbelanjaan
berlebihan sebaliknya mengekalkan tabungan bagi kegunaan mendesak.
Bagi suri rumah sepenuh masa, Suliza Sharani, 39, berkata,
dia mengutamakan perbelanjaan sekolah berbanding keperluan raya memandangkan
anak sulungnya pertama kali menempuh alam persekolahan darjah satu baru-baru
ini,
“Saya mula beli sikit demi sikit keperluan sekolah macam
baju, kasut, buku dan sebagainya sejak tiga bulan lalu supaya tidak terlalu
membebankan kewangan keluarga manakala persiapan raya baru perlahan-lahan
disediakan mengikut bajet,”katanya.
Jelasnya juga, sebahagian kecil persiapan raya turut dibeli
melalui pembelian atas talian kerana harganya yang jauh lebih berpatutan dan
tidak perlu bersesak memandangkan dia mempunyai anak yang masih kecil.
Pada masa sama, Siti Nur Arifah, 23, berkongsi, kelengangan
di tapak jualan kelengkapan raya mungkin disebabkan persaingan yang kuat
daripada jualan di media sosial seperti Tik Tok.
“Baju yang dijual ditapak Bazar agak mahal berbanding di
atas talian, akan tetapi saya faham peningkatan kos adalah disebabkan
faktor sewaan tapak dan sebagainya,”ucapnya.
Ketika ditanya berkaitan faktor lain, Arifah menjelaskan
orang ramai terutama yang sudah berkeluarga mungkin sudah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi sesi persekolahan baru-baru ini dan perlu menunda pembelian hingga
ke saat akhir.
Walaubagaimanapun, Suriani percaya, kesungguhan untuk membeli dan merayakan musim perayaan masih kekal di kalangan rakyat Malaysia.
Namun, penggunaan perbandingan harga dan penekanan kepada pembelian yang bijak menjadi ciri penting dalam landskap pembelian pada masa kini.
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#myBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #malaysiamadani #lamansocialtainment #terkini #blogger #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews