SK Cyberjaya(2) dijangka siap 2028 bagi menampung pertambahan pelajar (Foto hiasan) |
SHAH ALAM - Isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK)
Cyberjaya sedang ditangani menerusi beberapa langkah antaranya penyuraian murid
ke beberapa sekolah berdekatan dan pembinaan SK Cyberjaya (2) yang dijangka
siap pada 2028.
Ia susulan laporan mengenai murid Tahun satu sekolah berkenaan
yang mempunyai 13 kelas dan menempatkan 50 orang murid pada satu masa menjadi
tular di sosial media.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini
memaklumkan sebagai penyelesaian jangka panjang, SK Cyberjaya (2) yang dibida
dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan 3 (RP3) telah mendapat
kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.
"Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik
darjah dan kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan
proses pembinaan. SK Cyberjaya (2) dijangka siap pembinaannya pada 2028,"
menurut kenyataan itu.
Selain itu KPM memaklumkan penyuraian murid Tahun satu ke
beberapa sekolah berdekatan serta kelulusan pembinaan kabin 12 buah bilik
darjah tambahan pula merupakan penyelesaian jangka pendek yang sedang
dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu KPM turut mempunyai perancangan masa
hadapan bagi mengatasi isu kepadatan murid di Cyberjaya.
Ini termasuk menerusi pembinaan sekolah menengah baharu
iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam
RMK13 RP1 Tahun 2026, pada tahun ini.
KPM memaklumkan perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya
(3) pula akan dimohon dalam RMK13 RP2 Tahun 2027, pada 2025.
Sebelum ini, laman Facebook komuniti setempat memaparkan
situasi kepadatan murid Tahun 1 yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi ibu
bapa dan warganet.
Difahamkan, jumlah keseluruhan kelas yang dibuka kepada
murid sekolah itu adalah 13 kelas dan kepadatan berpunca daripada penumpuan
terhadap satu-satunya sekolah kebangsaan di Cyberjaya.
Menurut Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK
Cyberjaya, Abdul Karim Mustafa berkata, saban tahun pihak sekolah menerima
penambahan pelajar Tahun 1 sekitar 400-500 murid, sehinggakan waktu rehat
terpaksa diadakan dua kali untuk setiap sesi pagi dan petang.
“Daripada dulu, sekolah ini terlalu sesak. Ini isu utama.
“PPD tengah bantu kita untuk permohonan membina bilik darjah
tambahan berkonsepkan modular bagi menampung pertambahan pelajar ini,” katanya.
Karim berkata, isu kepadatan pelajar sudah dimaklumkan
kepada KPM sebelum ini dan menggesa ahli politik dan berjawatan turun padang untuk melihat sendiri situasi sekolah yang memerlukan bantuan.
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#myBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #malaysiamadani #lamansocialtainment #terkini #blogger #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews