Mohd Amanah Habhijullah (dua dari kanan) dan peguamnya S. Daniel (pertama dari kiri) di Mahkamah Majistret (Foto Google) |
MELAKA - Seorang bekas anggota tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret diatas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul seorang rekrut lelaki di Kem Terendak di sini, tahun lalu.
Mohd Amanah Habhijullah, 36, yang merupakan tertuduh,
bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan meminta
supaya kesnya didengar semula di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Menurut pertuduhan pertama hingga ke-15, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang prebet muda berusia 20 tahun.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau
denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabit
kesalahan.
Manakala, bagi pertuduhan ke-16 dan 17, tertuduh didakwa dengan
sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang sama di tempat yang sama
pada 15 Oktober 2023, jam 2 pagi dan pada 16 Oktober 2023, jam 3 petang.
Sekiranya disabitkan kesalahan, perlaku boleh dipenjara
sehingga dua tahun mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Namun, peguam S. Daniel memohon jaminan yang lebih
rendah atas alasan anak guamnya kini dalam proses pemberhentian kerja dan hanya
menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.
Jelasnya, tertuduh juga menanggung ibu bapa yang uzur dan
sakit, selain mendakwa pertuduhan itu disebabkan pengadu dalam kes itu tidak
berpuas hati terhadap tertuduh ketika di kem.
"Saya percaya pengadu adalah rekrut baharu dan
tertuduh adalah jurulatih yang bertindak tegas atas kapasitinya. Pertuduhan ini
kerana pengadu tidak berpuas hati terhadap tindakan tertuduh," katanya.
Peguam juga menegaskan, anak guamnya memberikan kerjasama
penuh kepada polis sepanjang siasatan kes dan memohon jaminan serendah mungkin dengan
bapa tertuduh sedia menjaminnya.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan bermastautin di Melaka.
Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa menggunakan
sebarang medium sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 April bulan hadapan.
IKUTI SEMUA PLATFORM MEDIA SOSIAL RASMI KAMI DI BAWAH
Salurkan berita anda kepada kami ke: editor@myberitaterkini.com
#myBERITA #myberitaterkini #viral #trending #semasa #terkini #negara #malaysia #berita #malaysiamadani #lamansocialtainment #terkini #blogger #kinitrending #hotsstory #ceritapanas #topsstory #share #instaviralupdates #malaynews